Thursday, April 30, 2015

TUMPANG LALU..EH, TUMPANG GEMBIRA



Bismillahirrahmanirrahim... 

Update blog untuk kesekian kalinya.
 
Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk terus update entry. Kali ni aku cuma nak share berita gembira yang kami dapat daripada seorang kawan. Syukurlillah, kawan aku telah menutup aurat dengan sempurna sekali. Dia telah mengambil keputusan untuk memakai tudung labuh dan berniqab! Allahu…terharu bercampur gembira dengan perubahan drastik itu.

“Kenapa tiba-tiba tergerak hati nak berubah?” sebuah soalan diaju kepadanya.
“Saya tak tahu. Mungkin Allah dah beri hidayah kepada saya. Timbulkan kesedaran kepada saya tentang pentingnya menjaga aurat dan maruah diri. Saya tak nak ayah dan saudara lelaki saya menanggung segala dosa yang telah saya buat. Terutama dosa bila saya pakai pakaian yang tak tutup aurat.” Panjang lebar dia terangkan.

Aku yang mendengar di sebelahnya terharu dan tersentap. Mungkin sebab aku kadang2 terlupa asbab aku menutup aurat. Allahu…lalu aku berkata kepadanya,

“Saya bersyukur awak begini. Kami semua tumpang gembira. Jangan lupa doakan kami juga. You have our supports okay. Yang penting awak kena terus istiqamah dalam kebaikan ni. To be franked, making the changes is hard, but to be consistent on the changes, it is even harder. Saya harap awak bertabah dan terus konsisten dalam perubahan yang baik ni.” Aku lahirkan pendapat tulus dan dia menerima dengan baik.

Memang benar, hidayah itu milik Allah dan Dia hadirkan kepada sesiapa saja yang dikehendaki. Aku tak kata orang yang menutup aurat itu dijamin syurga, tapi at least mereka telah menyempurnakan sebahagian ajaran agama.

Bear in our mind, Allah lihat pengakhiran hidup seseorang. Bukan di permulaan, mahupun di pertengahan. Tapi, misteri tarikh kematian memerlukan kita sentiasa bersedia untuk menjadi hamba yang tergolong dalam pengakhiran yang baik (husnul khotimah). Dan membuatkan kita tiada masa untuk bermalasan dalam beribadah. So, let's strive for the husnul khotimah!

p/s: Teringat pula ketika saat aku cuba berubah untuk jadi muslimah yang lebih baik. Dan sekarang masih dalam percubaan. Moga diberi kekuatan. Dan moga husnul khotimah milik bersama.
Ameen ya Allah :)

Wassalam…

Tuesday, December 16, 2014

PUISI SUATU MALAM

Tika diri malas beribadat
Kadang terasa jua penatnya
Lalu, dipujuk hati untuk kuat
Ingat ganjaran tuhan amat luas

Bila hati terpujuk
Ibadah dibuat tanpa disuruh
Tiada lagi sungutan dan penat
Kerna perlahan terasa nikmat

Ibadah wajib sudah tertunai
Ibadah sunat kadang buat kadang tinggal
Ingat pesan nabi kepada seluruh umat
Allah suka istiqomah walau sikit buat

Perlahan diri bangun malam
Waktu dinihari sunyi tanpa orang
Hanya ditemani bunyi makhluk Tuhan
Yang tanpa henti berzikir memuji Pencipta

Pesanku pada diri dan teman
Buatlah amal tika bernyawa
Buatlah saham tika masih sihat
Kerna pabila pulang ke 'sana' kelak
hanya itu yang dibawa



Puisi suatu malam
11.04 pm. Malam yang sunyi dan dingin
Di satu hari pada 16 Dis 2014
Di kampus universiti.

jodoh adalah cerminan akhlak

Bismillahirahmanirrahim...

Jodoh itu punya maksud yang tersendiri. Jodoh boleh jadi jodoh kekal atau jodoh pendek (contoh: cerai). Fenomena sekarang, ramai dari kalangan kita terlalu memilih pasangan hidup sehingga sanggup membujang untuk tempoh yang agak lama. Walaupun jodoh kita sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak kita dalam kandungan lagi, tapi usaha untuk mencari pasangan itu juga perlu.

Harus diingatkan, jodoh memang sudah tertulis tapi akhlak pasangan itu belum pasti bagaimana. Justeru, untuk memastikaan kita mendapat pasangan hidup yang baik akhlaknya, indah rupanya dan sempurna ibadahnya, maka kita terlebih dahulu menjadi sebegitu.

"Jodoh anda adalah cerminan akhlak anda."

Jika baik akhlak seseorang, maka dia layak mendapat pasangan yang baik akhlaknya. Jika dia tidak mendapat pasangan yang baik, maka itu adalah ujian Allah SWT kepadanya supaya dia menjadi lebih kuat dan bersabar.

Saya tertarik dengan pasangan kahwin muda di kampus saya. Alhamdulillah, saya melihat kedua-dua (isteri dan suami) punya akhlak dan nilai agama yang baik. Ketika ada gap sebelum masuk ke kelas, mereka ambil peluang untuk ke masjid menunaikan solat.

Sungguh, perkahwinan itu manis jika disulam nilai agama di dalamnya.

Kesimpulannya, jika mahu pasangan yang baik, kita terlebih dahulu bermuhasabah dan berubah untuk menjadi seseorang yang lebih baik dan berkualiti dari segi akhlak, ibadah dan akidah.

Paling mudah, contohi saja role model seluruh alam, Rasulullah SAW. Akhlak baginda dalam bermuamalah, dlm bab kekeluargaan, tanggungjawab baginda terhadap keluarga dan seluruh umat, begitu juga ibadah dan akidah nabi yang tiada tara. (Sollu 'ala nnabi)

Moga entry ini dapat mencelikkan mata hati kita :)

Wassalam.


Saturday, December 13, 2014

TEST DARIPADA TUHAN

Bismillah...

Hidup kalau tiada ujian, itu bukan hidup namanya. Ujian dan dugaan itu umpama rencah dalam masakan. Dugaan ini lah yang membuatkan hidup manusia menjadi lebih menarik dan indah. Jangan bersungut apabila ujan datang menyinggah. Sebaliknya bersyukur. Kerana ia adalah pemberian daripada Allah kepada manusia. Dan pemberian itu adalah terhad. So, bersyukur itu perlu !

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” – Surah AlBaqarah : Ayat 214

Setiap karakter dalam pentas dunia ini punya dugaan hidup masing-masing. Ahli korporat berpangkat Dato', pegawai atau mak cik cleaner di pejabat, semua punya dugaan dalam hidup. Cuma bentuk dugaan itu mungkin berbeza mengikut tahap kemampuan. Banyak bukti yang sudah termaktub dalam Al-Quran;

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo′a): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”– Surah AlBaqarah : Ayat 286

 Ujian dan dugaan itu perlu diambil positif iaitu sebagai papan tanda di kala memandu di atas jalanraya kehidupan. Ujian itu sebagai pemandu arah apabila manusia itu sedikit tergelincir daripada mengingatiNya. Lalu, Dia 'mencuit' hati manusia untuk kembali mengingatNya.

Kerana itu, apabila diberi ujian, manusia harus bersyukur. Jika tiada ujian hidup, mungkin ujian dalam bentuk lain pula datang menghinggap. Itu rahsia Dia. Kita sebagai manusia perlu sentiasa optimis dengan setiap yang berlaku. Kerana apa yang berlaku adalah perancanganNya.

Pengalaman aku menghadapi ujian hidup sangat mematangkan diri aku di kala berhadapan dengan ujian-ujian yang lain. Kerana itulah pentingnya belajar daripada pengalaman. Ia mengajar kita untuk lebih pandai mengatur langkah dan mencatur dalam kehidupan.

Ingat, dunia ini adalah pentas lakonan. Pelakonnya adalah manusia. Dan jika manusia itu "well-performed" di dunia for the sake of akhirah, maka beruntunglah dia.

 Sekian. Wallahua'lam..

2.49 am. 14/12/2014

MATI ITU PASTI

Bismillahirahmanirrahim..

Syukur diberi peluang untuk terus membuka wacana di blog ni. Aku rasa tiada orang pun yang menunggu update daripada blog ni seperti menunggu sang putera datang meminang. Begitu teruja. Tapi tak mengapa kerana aku menulis dari hati. Aku tak punya diari. Blog ni sebagai wadah untuk aku zahirkan rasa.

Sudah tiba masanya untuk aku melakukan anjakan paradigma ke atas blog ni. Seiring dengan usia aku yang makin meningkat, aku nak tulis blog ni dengan lebih matang dan informatif. Kerana setiap apa yang kita buat akan dinilai Allah. Kalau baik pasti ada ganjarannya. Orang kata semakin dimamah usia, semakin dekat kita dengan kematian. Walhal, kematian itu tak pernah mengira usia. Kun fayakun. Kalau Allah nak tarik nyawa, tiada apa pun yang dapat hentikan ia daripada berlaku.

Kematian itu perlu selalu diingat kerana ia dapat menguatkan iman dan dapat menjadikan kita sebagai seorang hamba yang lebih bersedia untuk menghadap Sang Pencipta kelak. Bersedia dengan amal dan ibadah. Kerana bila kematian datang menjemput seseorang, hanya tiga (3) perkara yang terus kekal bersamanya iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.

So, kereta mewah atau rumah besar tak masuk dalam carta. Itu hanya perhiasan dunia. Bukan saya kata material itu tidak penting, tidak. Tapi sikap manusia yang kadang-kadang buat saya tertanya-tanya mengapa mereka sanggup bertuhankan material? Kereta mewah, rumah besar, pangkat tinggi melangit tidak sesekali menjamin syurga untuk manusia. Tapi jika kemewahan itu digunakan untuk jalan Allah, maka ia tergolong dalam 3 perkara yang akan kekal bersama kita walau nyawa sudah berpisah dengan jasad.


Fitrah manusia. Memang tidak pernah lekang daripada melakukan dosa dan kesilapan. Tapi, pohonlah agar hati selalu hidup dengan zikir kepada Allah SWT dan selawat ke atas baginda nabi SAW. Mohon agar hati selalu ingin melakukan kebaikan. Juga mohon agar diri selalu diberi hidayah untuk terus berdoa kepada Yang Maha Mendengar.

2.14 am. 14/12/2014

Allahu...



Tuesday, September 23, 2014

MAHAKARYA CINTA

Assalamualaikum..
Bersambung daripada entry sebelum ni...

Thirdly, pasal karya penulisan aku. Masa cuti sem hari tu aku ada la buat cerpen sikit dan lepas tu berjinak-jinak nak tulis novel. Cerpen tu alhamdulillah dah siap (aku tak letak sini maap ye), tapi novel tu baru siap separuh. Tak tahu la bila boleh siap sepenuhnya sebab aku kena aula kan yang aula dulu iaitu study aku. Di final year ni tahu-tahu je la aku mesti kena buat thesis kan. So aku kena fokus benda yang penting dulu. Novel tu mungkin aku akan sambung lepas habis belajar. Lagi setahun kot ! :O
Sabarrrr...

Perkara yang membuatkan kerja penulisan aku bergerak agak slow (contohnya belog ni, cerpen, novel) adalah kerana masa yang semput dan lambakan kerja yang tak pernah surut. Kadang-kadang tu kerana mood aku yang tak menentu. Kalau nak mengarang mesti kena ada mood dan suasana yang tenang. Duduk kat tepi pantai sambil angin bertiup lembut, baru ada feel nak berkarya. Ye dak? :p

Ok, tu pasal hobi/kerjaya.

Fourthly, pasal study aku. Dulu aku haremm memang tak nak sambung belajar dah lepas habis ijazah. Konon. But all out of sudden, Allah bukakan pintu hati aku untuk terus menimba ilmuNya yang Maha Luas. So, aku ada plan la nak sambung master lepas habis degree ni. Dalam bidang town planning jugak. Tapi aku nak cari pengalaman kerja dulu setahun dua sebelum sambung belajar lagi. Tu pun kalau ada rezeki. Kalau tak aku terus je kerja sampai tua. Aku doa moga Allah bagi aku apa yang terbaik cause He is The Best Planner ever :)

Nampak macam tak cukup nafas je aku nak bercerita. haha. Sebab dah lama sangat tak menulis. Ni la jadinya.

Okey, kholasss. Tu aje untuk entry kali ni. Kbai.
Assalamualaikum.

MATI HIDUP SEMULA

Bismillah...
wahh, rasanya hampir setahun belog ni tak di hapdet. Memang terasa sangat banyak sesawang kat belog ni ;)
Maaf, aku sangat sibuk sebelum ni. Nak jenguk belog ni pon takde masa, apatah lagi nak update kan (propa sangat).
Alhamdulillah, aku sekarang dah final year. Rasa macam tashabar pulak nak habis belajar dan terus cari pengalaman kerja. Hmm moga dipermudahkan :)

Dah lama tak berblogging ni tetiba rasa awkward dan kering idea pulak nak cerita apa. Kering? sebenarnya banyak je cerita tapi tak tahu nak tulis pasal yg mana satu dulu. haha

Okey, first pasal kengkawan aku yang dah ramai mendirikan masjid atau baitul muslim (amboi, tahulah budak yuaiye nak tu cakap arabic term ajer :p). Ramai jugak la dari kalangan senior sekolah, teman sekelas dan tak kurang ada jugak junior aku yg dah kahwin. Tahniah dik, akak tumpang gembira. (ke jeles haha)

Semua orang nak kahwin kan? Nak ada kehidupan yg sempurna macam keluarga lain. Tapi macam yg aku pernah cakap kat entry sebelum ni la, kahwin ni perlukan persediaan yg rapi. Sebab kita bukan berkahwin dengan pasangan kita sahaja tetapi dengan keluarganya sekali. Tanggungjawab dan amanah juga perlu difahami sebelum bersedia utk digalas.

Okey, tu bab kahwin.

Secondly, pasal internship aku sebagai town planner di ZIKAY GROUP OF COMPANIES .Alhamdulillah, everything went well. Aku diberi task yang memang dalam bidang aku. Tapi bekerja dalam private sector ni faham-faham je la. Kerja kadang-kadang sampai malam. Kalau nak dekat submission/presentation memang kelam kabut dan tak tidur sebab nak siapkan proposal. Menteri Besar nak tengoklah, bos besar nak komen lah, macam-macam. Dan semua proposal main aci redah aje. Maklum la, dalam client side (developer) ni tahu-tahu je la, semua development proposal kalau boleh memang nak maximise kan profit. Mana ada orang meniaga nak rugi kan ^^.Kadang-kadang tu sampai break the guidelines yg telah ditetapkan oleh authority. Aku bercakap melalui pengalaman okeh.

Berbeza pulak dengan kawan-kawan aku yang buat internship di jabatan kerajaan atau kementerian yang berkaitan. Dorang memang banyak didedahkan dengan policy, guidelines dan pelbagai lagi jenis undang-undang yang berkaitan dengan pembangunan. Dorang kan di pihak kerajaan/local authority, so kerja dorang lebih kepada nak semak development proposal yg disediakan oleh client/developer. Check la sama ada proposal tu memenuhi semua piawaian yang telah ditetapkan.

Yang paling syiokk bila aku dapat turun padang lawat tapak project. Memang syiokk. Sebab kita dapat tengok sendiri macam mana sesuatu pembangunan tu dijalankan, prosedur dan prosesnya.

Macam bosan je kan cerita pasal kerja kat sini? haha. Aku saje je nak bagi pendedahan sikit pasal dunia kerjaya. Mana la tahu nanti korang inspired nak ambik kos ni :p

Ada thirdly? Nope. Yang lain-lain aku sumbat dapat next entry la ye. Takot jenuh pulak pembaca nak scroll sampai bawah hihiks :)

Assalamualaikum, see you !

Saturday, December 7, 2013

nak kenal Tuhan atau nak cari tuan punya tulang rusuk?

Bismillahirrahmanirrahim..

Antara mengenal Allah (ma'rifatullah) dan mengenal tuan punya tulang rusuk (bagi wanita), mana lebih aula?
sudah tentu mengenal Allah bukan? kerana bermulanya iman dengan mengenal Tuhan terlebih dahalu. barulah beriman dan percaya dengan-Nya.

Cuba kita lihat situasi ini.
Pensyarah sedang berdiskusi tentang sifat-sifat Allah, cara untuk mengenali-Nya dan sebagainya. Sebahagian daripada pelajar khusyuk mendengar (termasuk mata-matanya saja yg membutang tetapi fikiran ke laut), sebahagian lagi sibuk dengan gajet masing-masing. Berfacebooking, bertwittering, berkeek, whatssap dan sebagainya. Pensyarah tetap memberi penerangan tentang tajuk yg ingin disampaikan.

Untuk kelas yg selepasnya, Ustaz membincangkan soal perkahwinan (munakahat) dan baitul muslim. Semua mata tertumpu sepenuhnya kepada ustaz. Semua mata segar bugar. Gajet masing-masing di silent dan diletak tepi. Fokus. ya Fokus. cuma segelintir saja yang buat tak endah (mungkin tidak berminat dengan topik).

Adakah jelas perilaku manusia yang ingin mendengar sesuatu yg dikurnia Tuhan namun kurang berminat untuk berbicara tentang Tuhan itu sendiri?

Apa kau lupa cinta, kasih, kahwin, jodoh itu semua datangnya dari Dia? Sang Pencinta dan Pencipta.

Seharusnya cinta Allah dan Rasul diutamakan dahulu, kemudian cinta kepada ibu bapa, guru-guru dan sesama manusia lain. Islam sama sekali tidak melarang manusia untuk bercinta malah Islam menggalakkan cinta dan berkasih sayang kerana Islam itu sendiri diwarnai dengan kecintaan. Hidup Rasul dahulu pun banyak disemai dengan kecintaan. Tapi cinta yang bagaimana ya? Iaitu cinta dan kasih sayang yang halal dan kerana semata-mata ingin mencari redha Allah.

Islam sama sekali tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang. Namun, Islam melarang umatnya menjadi hamba cinta manusia.

Buat apa mendapat cinta manusia tapi menjemput murka Tuhan?

Saya tak kata situasi ini berlaku di semua tempat. Tidak. Ianya tidak menyeluruh. Namun, ia umpama satu virus merbahaya yang mampu menyentap iman muslim sejagat. Merawat biar dari akarnya. Biar dari tuntasnya.

Letakkan matlamat utama untuk meraih redha Allah. Bukan untuk meraih cinta manusia yang menggila. Kerana cinta kerana Allah itu akan disirami dengan baja cinta dan air siraman kasih sayang-Nya yang akan membawa kita ke jannah. Dan kerana cinta Allah itu mampu membawa kita kepada jodoh yang turut mencintai-Nya. InsyaAllahu Ta'ala.

Wallahua'lam :)

Friday, November 22, 2013

Jujur bertempat

Bismillahirrahmanirrahim...
Allahu robbi. dah lama rasanya tak update. Dah sekilo agaknya sawang kat blog aku ni. Sibuk sangat.
*tarik nafas dalam2*

Precise and concise - straight forward and short.

Dah adat orang bergelar pelajar. Mesti banyak exam yang kena hadapi, berlonggok assignment yg nak kena buat dan bersusun project (untuk student architecture la). Kalau tak kerana sabar memang dah lama collapse. Memang dah lama balik kampung terus terima pinangan orang. Tapi tak semudah tu, sebab kita punya impian menggununung dan perlukan ilmu untuk menggapainya.

Nak capai kejayaan haruslah bermula dengan usaha dan kesabaran. Sabar walau jatuh. Kembali bangun bertatih. Bertatih lagi sampai dapat berlari seiring dengan orang lain yang dah maju ke depan.

Tapi dalam pada kita mengejar kejayaan, cara mengejar tu tak boleh dipandang enteng. Tidak boleh main langgar je. Asalkan berjaya, semua cara dihalalkan. Tak boleh macam tu.

Matlamat tak sekali-kali menghalalkan cara.

Dalam nak mengejar kejayaan tu, ada juga manusia yang suka suki ambik jalan pintas. Meniru ketika exam. Copy paste assignment kawan dan macam-macam lagi.

Tahu tak apa kesannya pada diri sendiri?

Keberkatan dalam menuntut ilmu makin luput. Kerahmatan tuhan makin jauh. Dan objektif utama belajar makin hilang !

Bayangkan nanti bila kita dah masuk ke alam pekerjaan. Ijazah yang kita bawa untuk bekerja adalah hasil daripada 'bukan halal' kerana meniru dan menipu dalam belajar. Apa akan jadi?

Adakah halal rezeki yang kita dapat? Adakah halal makanan yang dibeli oleh wang gaji yang diperoleh daripada ukuran sekeping ijazah yg belum tentu halalnya? *okey dah pening.* hadamlah slow2 ayat ni.

Saya menyeru kepapa diri saya sendiri dan semua makhluk Tuhan yg seksi mahupun tidak, untuk sentiasa berlaku jujur dalam setiap perbuatan. kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan di masa akan datang.

Tepuk dada tanya iman. adakah iman benarkan?

wallahua'lam :)


Saturday, June 8, 2013

Malaysia Global March to Jerusalem (MyGMJ)


Bismillahirrahmanirrahim..

Hari yang bersejarah 30 Mac tanda Palestine Land Day * dalam ingatan negara Palestin. Global March to Jerusalem adalah satu program yang diadakan setiap tahun oleh NGO (Aqsa Syarif) untuk memperjuangkan nasib rakyat di bumi Palestin yang kian ditekan oleh pihak Israel laknatullah. Ia bertujuan untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dan untuk mempertahankan Jerusalem daripada dirampas oleh puak Israel. Dan juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam sedunia agar sama-sama menentang Israel dan menyokong perjuangan para mujahidin di bumi Palestin.

Mungkin masih ramai yang kabur apakah yang terjadi di Palestin currently? apakah rancangan zionis Israel di bumi Palestin? semua ini terjawab jika anda klik di link ini official page gmj.

Salah satu cara (yang paling kecil saya kira) untuk menzahirkan penentangan terhadap Israel adalah dengan memboikot barangan mereka. Memang tidak mudah kerana majoriti pasaran dunia dimonopoli oleh mereka. Tetapi itu tidak mustahil jika kita bersungguh-sungguh dan kuatkan semangat bersama-sama 'berpuasa' daripada menggunakan produk mereka. Ia bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi mereka yang selama ini menjadi sumber kewangan terbesar dalam membekalkan bahan ketenteraan termasuklah peluru, senapang, dan sebagainya.

Tidakkah kita berasa bersalah menyalurkan bantuan kepada mereka untuk membeli peluru yang akhirnya menembusi tubuh para mujahidin di sana? mujahidin itu adalah saudara kita !

Ayuh teruskan usaha memboikot produk mereka. Tahanlah nafsumu. Bentuklah akalmu. Saudara kita di sana menagih semangat dan sokongan daripada kita, wahai sekalian muslim !

Saya menyeru diri saya dan kalian semua, marilah kita sama-sama menyokong setiap usaha dititipkan untuk membebaskan rakyat Palestin dari belenggu Israel yg hampir 46 tahun menghantui mereka. Allahu Robbi. Non-muslim juga turut sama menyokong usaha ini. Apakah kita tidak berasa bertanggungjawab untuk sama-sama menyahut seruan ini? jika tidak, sila berasa malu dengan orang bukan islam.

let the pictures speak.

- sekitar malam kemuncak Malaysia Global March to Jerussalem yang diadakan di Dataran Merdeka Shah Alam.

thanks for reading. moga kita semua mendapat manfaat daripada entry ini. mudah-mudahan. ameen Ya Allah.

ya Allah, selamatkan saudara kami di Palestin sana Ya Allah. Engkau musnahkan dan hancurkan rancangan Israel untuk merampas Jerusalem. Periharalah nasib saudara kami di sana. bebaskan mereka dari belenggu Israel yg Engkau laknati, Ya Allah. ameen Ya Rabb...

Tuesday, May 21, 2013

ibu 3 kali, ayah sekali.

Bismillahirrahmanirrahim..

Dikala menunggu azan subuh berkumandang, aku ingin membuang sawang-sawang yg bersarang di blog aku ni. ya, agaknya dah hampir setahun blog ini terbiar tanpa ada sebarang pengisian.
aku sibuk dengan hal belajar. harap maklum.

memang aku sibuk lately ni, tapi tipulah kalau aku kata aku tak tahu berita semasa. tahu gok skek-skek. currently yg pasal seorang pelakon baru yg dikenali sebagai Afiq Muiz telah bergaduh besar dengan ibunya. aku kurang pasti apa sebabnya tapi rasanya sebab mak dia tak setuju dia nak berkahwin dengan seorang gadis ni. hmm.

tak kesah la dia nak kahwin ke apa ke, tapi part yg aku nak stress kan kat sini adalah tanggungjawab seorang anak terhadap ibunya. Bagaimana yg dimaksudkan dengan tanggungjawab tu?

Patuh dan taat kepada ibu bapa selagi mana tak bertentangan dengan ajaran Islam.
haa, apa yg mak si dia ni cakap?
ntah, malas nak tabur fitnah.

ni ada hadis nabi SAW yg berbunyi:

Seorang pernah bertanya Rasulullah s.a.w :

"Siapa yang lebih berhak menerima cinta dan jagaan saya di dunia ini?"

"Ibu kamu," jawab Rasulullah s.a.w

"Dan siapa lagi?" "Ibu kamu," Rasulullah s.a.w mengulangi.

"Selepas itu siapa?" orang itu bertanya lagi.
"Ibu kamu," kata Nabi buat kali ketiga.

"Dan selepas itu?"

"Selepas itu ayah kamu."
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.


Nampak tak betapakah kita sebagai anak wajib taat dan patuh kepada ibu pertamanya, kedua dan ketiga, dan keempatnya barulah bapa. it doesn't matter la berapa kali pun cuma nak tunjukkan bahawa jasa ibu itu sangatlah besar dan mereka berhak utk mendapat layanan yg tertinggi drpd anak2.

bayangkan dari kecik ibu besarkan kita, dah besar kita lawan cakapnya. kita membentak hanya kerana turutkan nafsu sementara.
jangan lupa, syurgamu di telapak kaki ibu. kau derhaka, kau tak bau sorga bro.

hmm, reminder untuk diri ini dan semua juga. uhuk uhuk.

Sebenarnya, bukan niat di hati nak aibkan si pelakon tampan lagi macho ni tapi ia boleh dijadikan teladan utk kita semua. as a reminder for ourselves.

 aku, kau, kita, kami dan semua mesti ada juga pernah ter atau tak sengaja buat ibu kita sedih. tu pun dah rasa bersalah gile kan. pastu cepat2 gi minta maaf. ye laa, bayangkan kalau nyawa kita ditarik ketika kita sedang melukai hati seorang yg darjatnya selepas Allah dan Rasul. ahh, pastinya azab pedih yg menanti.

nauzubillahi min zalik.

anak-anak wajib minta izin dengan ibu bapa. dalam apa jua perkara yg melibatkan hidup. nak dapatkan restu dan redha mereka. itu sangat penting demi keberkatan hidup.

Kata Abdullah Ibn ‘Amru radiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”  —-  Hadis Mauquf, Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899
-gambar hiasan-

Bertutur dengan lemah lembut dan merendahkan suara semasa bercakap dengan kedua ibu bapa sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 23-24 yang bermaksud:

Maka sekali-kali janganlah engkau berkata “ahh”dan janganlah engkau membentak keduanya,dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku,Sayangailah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil” - (Al-Isra’ ayat 23-24)

hadiahkan mereka kejayaan dengan menjadi aset kepada agama.

sebagaimana sabda nabi SAW:

Jika telah mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah Jariah,ilmu yang bermanfaat,dan anak soleh yang mendoakannya."

moga kita semua tergolong dalam golongan yg memuliakan kedua ibu bapa dan mendapat redha mereka. itu aset yg membawa kita ke syurga Allah.

okey, mata dah pedih. azan pun dah kedengaran. jom solat dulu.
moga hari ini lebih baik dari semalam.

wassalam :)

Monday, November 12, 2012

ada apa pada usrah?


Bismillahirrahmanirrahim..
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.

"usrah bukan mengaji, tapi jalan mengubah diri."

usrah bukan tempat para alim, tapi tempat mereka yang ingin berubah. kerana di sinilah ramai teman2 yang sudi menuntun kita untuk bersama-sama melakukan perubahan. jika ingin berubah seorang diri tanpa bimbingan dan dorongan, khuatir pula ia akan melunturkan semangat untuk berubah kerana cabaran di luar yang maha hebat akan menghambat semangat mulia itu.

menyertai usrah adalah sangat mudah kerana terdapat banyak kelab-kelab di IPTA dan IPTS. jadi kita tiada alasan untuk menolak perubahan dalam hidup.

---------------------------------

Tepat jam 1 tengahari, kami memulakan perjalanan ke kem Sri Raudhah yang terletak tidak jauh dari UIA. perasaan gembira menyelubungi kerana tidak sabar untuk bebas dari hiruk-pikuk manusia di kampus. juga ingin bebas dari kerja belambak yang menyesakkan fikiran.

20 minit kemudian, bas tiba di kem tersebut. Allahu Robbi! sungguh indah ciptaan-Mu. alam semulajadi yang menyegarkan sesiapa saja yang bertandang ke sini.

tentatif program terisi dengan slot2 ilmiah yang sangat menarik. ilmu yang disampaikan dalam setiap ceramah terasa begitu berharga. Allah,, terasa jahilnya hamba-Mu ini. semakin belajar semakin terasa jahil! Tumpuan diberikan sepenuhnya untuk merebut ilmu agar tidak tertinggal walau sedikit pun. Maklum saja, kesibukan di kampus sedikit sebanyak menjadi batu penghalang untuk menghadiri majlis ilmu.

Slot bukan hanya terisi dengan ceramah2 dan majlis ilmu sebagai pengisian rohani, malah aktiviti jasmani yang menarik seperti explorace juga diadakan. setiap kali tiba di checkpoint, peserta diminta untuk melakukan tugasan sebelum mendapat klu untuk ke checkpoint seterusnya. di setiap checkpoint juga, peserta diminta untuk menjawab beberapa soalan seperti; apakah yang boleh dikaitkan tugasan di checkpoint ini dengan konsep ibadah?" ia adalah bertujuan untuk melihat lontaran idea yang diberikan oleh peserta. <----- untuk mengasah soft skill dalam diri mahasiswa.

part yang paling penting dalam program ini adalah kita berpeluang untuk berkenalan dengan pelajar2 yang berlainan kos dan kuliyyah. Allhu Robbi, terasa kemanisan berukhwah kerana-Mu.

di akhir program, hati peserta diterjah rasa sayu dan terharu. manakan tidak, hubungan yg terjalin atas dasar mencari keredhaan Allah dirasakan begitu sukar dipisah. usai solat zohor, para peserta bersalaman sambil berselawat ke atas baginda. Sollu 'ala Nabi. Allahu Allahu Allahu :)

------------------------------------

"Memiliki halaqah, jadual pengajian, naqib dan segala aspek 'formal' bukan bererti anda sudah ditarbiyah. kemahuan untuk berubah, merasai sakitnya perubahan diri, itulah ukuran anda sudah ditarbiyah."

"Ya, usrah bukan segalanya tapi segalanya bermula di usrah."

usrah juga berperanan sebagai "charger" dalam diri kita. jika kita lemah, usrah lah yang akan membuatkan kita semakin kuat bertahan dalam dakwah. teman-teman, sahabat sahabiah dan naqib-naqibah sentiasa ada untuk sama-sama "charging" diri sendiri. saling membantu dan mengingati antara satu sama lain. Subhanallah!
usrah juga mampu melahirkan ahli usrah "charger spies".

Changer SPIES:

S- Spriritual: qiamullail atau ibadah-ibadah lain bukan hanya berlaku dalam usrah tetapi usrah melahirkan ahli yang suka beribadah dan mementingkan aspek "spiritual".

P- Physical: riadah, rehlah, outdoor activities melahirkan ahli usrah yang mementingkan aspek "physical" walau di luar usrah.

I- Intelectual: ahli yg mementingkan aspek "intelectual" seperti pengetahuan isu semasa atau bidang2 ilmu. tidak terhad kepada satu2 bidang tertentu saja.

E- Emotional: kepatuhan, ketepatan masa dan kesabaran (3K)

S- Sosial: melahirkan ahli yang memulakan salam, perbualan dan memulakan senyuman.

Gemar saya tekankan di sini bahawa join usrah tidak rugi sedikit pun, malah jika tidak menyertai usrah maka kita akan rugi. Rugi kerana melepaskan peluang untuk berubah.

"Jangan tanya apa usrah berikan pada kamu, tapi tanyakan apa yang kamu berikan pada usrah."

sekian, jazakallahu khoir.
Assalamualaikum wbt :)

Tuesday, August 14, 2012

artis berhijrah :)

Assalamualaikum wbt. (salam sejahtera ke atas kamu)
Bismillahirrahmanirrahim (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)

Sejak dua menjak ni kita dikhabarkan dengan ramai artis yang berhijrah daripada dunia yang banyak merobek iman mereka kepada sesuatu yang lebih baik. Hidayah Allah siapa yg boleh menduga kan?
Saya kira ini adalah satu perkembangan yang sangat baik. Artis adalah public figure, yang kita tahu banyak memberi impak kepada peminat. sama ada impak yang baik atau sebaliknya. Jika dibandingkan dengan ulama' atau ilmuan, artis lagi banyak mebawa pengaruh kepada orang awam. memandangkan dunia sekarang sangat mengagungkan hiburan. Hiburan dengan manusia sudah seperti isi dan kuku. Ya, islam juga tak larang penganutnya untuk berhibur tapi biarlah berlandaskan syara' yang telah digariskan.

Haa, berbalik semula kepada topik asal. Sejak akhir-akhir ni industri hiburan kita banyak keluar cerita pasal penghijrahan artis wanita khususnya. Daripada 'free hair' kepada berhijab. Daripada bersosial kepada lebih menjaga pergaulan. Berpakaian lagi sopan dan bertutup. Alhamdulillah. Allah dah bagi hidayah kepada mereka. Harap-harap mereka kekal begitu.

Namun, terdapat juga suara-suara sumbang yang mempertikaikan penghijrahan seorang artis wanita ini (tidak perlu mention namanya di sini). Bukan mempertikaikan penghijrahan pemakaian hijab artis itu tapi mereka mempertikaikan pegangan politik yang di pegang oleh artis wanita tersebut. Bagi saya tiada salahnya jika dia ingin melibatkan diri dalam politik kerana itu adalah hak individu yang kita tak ada hak untuk menghalang. Terutama di negara demokrasi seperti negara Malaysia.

Ada juga yang mengatakan bahawa artis ini tidak layak untuk bercakap tentang agama memandangkan dia baru sahaja berhijrah dan tidak berapa mahir dalam bidang agama. Adakah orang yang baru berhijrah tidak layak untuk berbicara tentang agama? Bagi saya tiada salahnya jika dia nak berbicara soal agama since dia pun memang muslim. Jika dia pasti dan benar fakta yang ingin dibicarakan itu, maka siapa kita untuk mempertikaikannya? Ahh, orang buat baik pun nak argue ke. Bersyukurlah dia dah berubah jadi baik.

Tidak kurang juga dengan artis lelaki yang dahulunya lalai dan leka dalam dunia hiburan, kini telah berubah menjadi insan yang boleh menyumbang dalam medan dakwah. Contoh paling baik, kumpulan Al-Mawlid, yang dianggotai oleh bekas ahli kumpulan Ruffedge, VE dan Innuendo. Saya sangat respect kat mereka. Kumpulan yang dianggotai oleh lima orang anak muda ini mengajak kita untuk sentiasa berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Moga beroleh syafaat di akhirat kelak.



Walau siapa pun kita di masa lalu, ia bukanlah satu tiket untuk kita melayakkan kita ke syurga atau neraka. Apa yang dilihat Allah adalah pengakhiran hidup kita. Sama ada mati dalam keadaan baik atau sebaliknya (nauzubillah). Di samping melakukan ibadah-ibadah wajib, sertakan juga ibadah-ibadah sunat. Berdoa moga ditetapkan iman. Moga kita mendapat husnul khatimah. Ameen :)

Wassalam :)